Home > karya-karya > Karya – Karya

Karya – Karya

IlhamMu Tuhan,lampiran nukilanku(dedikasi buat ayahbonda dan keluarga tersayang dan teman-teman)

Pengalamanku Sebagai Mahasiswi di Makassar

‘’Tit-tit..tit-tit..” telefon bimbitku berirama. Ada pesanan ringkas yang masuk. Lamunanku terputus. Ternyata sudah hampir dua tahun denyutan nadiku melewati tugasnya dalam tubuhku di bumi Makassar ini, sekaligus menandakan tempoh lamanya aku telah berada di sini. Terasa masih segar pesanan dari bondaku sewaktu saat meninggalkan aku disini. “Kakak, kalau bukan kerana Deen dan ilmu, umi takkan tinggalkan kakak di sini.” Suasana sayu aku dalam pelukan bondaku seakan-akan masih kurasai.

Segalanya mula terakam dalam kotak memoriku apabila kami semua sama-sama sibuk bersiap tatkala menyinsingnya fajar tanggal 22 Ogos. Bukan main kalutnya semua rakan-rakanku. Mana tidaknya, ini merupakan pertama kali kami semua berpakaian ala Indonesia. Bergaya dengan kain ketat yang dibahagian bawahnya terbelah ke atas. Berbaju separa panjang yang menjerut bahagian pinggang. Memikirkannya membuatkan aku tertawa sendiri membayangkan seandainya aku dikejar sang anjing. Kami semua berkumpul seperti boria hitam putih untuk ke dewan utama sebagai mukaddimah Majlis Penerimaan Mahasiswa Baru (MPMB) peringkat universiti.

Berbunga hatiku dalam menyelesaikan putaran 24 jamku. Bermula pagi hari ke kuliah hingga ke petang sudah cukup untuk mengisi kamus hidup sebagai mahasiswi perubatan Universiti Hasanuddin.10 minit berbasikal pergi dan pulang dari kampus setiap hari seolah-olah memberiku peluang merealisasikan impianku untuk berjisim 40 kg. Meskipun aku terpaksa merentasi terik mentari di sini. Nyatanya terasa lebih menyengat berbanding negara ibunda.Mana tidaknya,biar ku mula kayuhan seawal jam 7.15 pagi, seakannya terasa sudah mulai zuhur. Ditambah dengan campuran gas dan debu asap kenderaan yang sedia ku maklumi,aku nekad body mass index ku harus di istiqamahkan di angka 18.

Masih ku ingat ketika kali pertama aku menjejakkan kaki ke bumi Tamalanrea ini. Bronkusku terasa sesak sekali dengan pelbagai kepulan asap dan debu yang seakan-akan berlumba-lumba untuk memasuki laluan pernafasanku. Dapat kusimpulkan bahawa sudah menjadi rutin kehidupan masyarakat disini, menghirup udara yang padaku berperingkat kotor, sebagai juadah harian.Dengan debu yang bertebaran seakan menjadi hiasan sekitar,dengan hobi masyarakat yang menjadikan tabiat merokok sebagai sunnah kehidupan,dengan pembakaran terbuka yang berleluasa, sampah-sarap yang dibuang sewenangnya, sudah cukup untuk meletakkan index udara di sini pada tahap 68.0 %.

Namun pandangan pertamaku terhadap udara dan sekitaran negara republik ini ternyata meleset tatkala mengikuti rombongan bakti sosial ke daerah Malino. Sepanjang perjalanan ke sana, hatiku tidak henti memuji kebesaran Ilahi. Sesungguhnya Dialah yang menciptakan keindahan yang hakikatnya tidak menjanjikan apa-apa yang kekal. Suasana segar yang menghijau dengan pepohon yang merimbun meneduhkan panorama. Bukit-bukau yang gah berdiri seakan dinding sepanjang perjalanan. Laut yang membiru berlapisan hijau ditengahnya, segalanya kelihatan indah dan memukau dek fatamorgana alam ciptaanNya. Udaranya nyaman dan segar.

Semuanya telah melupakan aku sebentar ke dunia perkualiahanku yang sebenar di Makassar. Berbaju panas setebal 3 lapis membuatku rasa seperti berada di Eropah. Maha suci Allah yang telah memperlihatkan kebesaranNya melalui penciptaanNya. Seakanku masih rasai kesejukan dan kesegaran air terjun di sebalik bukit. Mencurah-curah molekul-molekul air mentaati hukum Newton pertama. Begitu asyik hingga mahu sahaja aku menetap terus di sana. Namun aku sedar, ada tugasku yang lebih utama di bangku kuliah Universiti Hasanuddin.

Kesibukan memenuhi jadual kedatangan kuliah di kampus tidak menjadi halangan untukku membina keperibadian sebagai seorang wanita yang sempurna. Tugasan rumahtangga seperti menanak nasi sambil belajar memasak dan menyediakan lauk-pauk yang hakikatnya merupakan pengalaman pertamaku menjejak dapur adalah sangat berharga bagiku. Begitu juga dengan mengemas rumah. Membasuh dan mengurus pakaian. Merapikan bilik dan segala barang serta peralatan samada peribadi maupun hak bersama, segalanya seperti menyiapkan aku sebagai isteri mithali kelak.

Kesibukan melewati 1440 minit dengan pelbagai urusan benar-benar mencerminkan wasiat Imam Hasan Al-Banna yang kesepuluh. Bahawasanya masa yang ada adalah lebih sedikit dari tugas yang harus dilaksanakan.Rentetan melayani kesibukan dalam mencoret lembar diari hidupku seharian inilah benar-benar telah mengajar aku untuk bijak membahagi waktu dan mengerti betapa penting dan berharganya nilai sebuah masa.

Aku merasa sangat bersyukur apabila diberi peluang melakukan khatan kepada anak-anak di sini. Menilai ilmu dan pengalamanku, pastilah aku tidak layak walau untuk memegang pinset. Itulah kelebihannya belajar di Indonesia. Biarpun baru ditahun satu, ilmu dan pengalaman dalam menyunatkan anak-anak sedia diberi.Aku masih ingat, aku mengukur 1/3 dari Spina Iliaka Anterior Superior ke garisan punggung anak-anak untuk suntikan Tetanus. Mensteril alatan menyunat ternyata memenatkan dan merupakan pekerjaan yang kotor. Pengalaman yang sangat berharga inilah telah aku ceritakan kepada keluargaku di Malaysia sebagai tanda betapa aku menghargai peluang itu.

Tepat sekali falsafah melayu yang berbunyi kehidupan ini ibarat roda. Terkadang kita di atas, terkadang kita di bawah. Kata-kata itu seolah-olah menyiat kembali luka lama yang kian terlipat di girus-girus otakku.

Ternyata semangat belajarku yang berkobar-kobar saat awal memegang gelaran Mahasiswi Universiti Hasanuddin mula memudar. Entah kenapa hari itu aku benar-benar longlai. Aku merasakan seluruh hidupku musnah. Sepertinya seisi dunia ini telah mentertawakanku. ”Ilya,kau erornya banyak sekali dong, sabar ya. ”Terngiang-ngiang berita dari temanku Wawan sebentar tadi ketika kami bertembung di kampus. Sepertinya aku mendapat khabaran kematianku dari Malaikat maut. Terasa pecah gegendang telingaku tatkala kalimat-kalimat itu masuk menerobos membrana timpaniku. Mataku mulai berkaca memikirkan sesuatu yang aku sendiri tidak tahu. Aku seolah-olah tidak kenal siapa diriku ketika itu. Sepertinya aku tidak berTuhan tatkala itu, Na’uzubillah. Mahu sahaja aku menjerit minta sebuah lori dihadapanku agar mambaham sahaja diriku yang tidak bermanfaat ini. Biarlah tika itu, aku segera lenyap dari kenyataan fana ini. Yang pastinya, aku mahu sendirian.

Minggu itu, berpuluhan pesanan ringkas masuk ke memori telefon bimbitku .Aku tahu, semuanya pasti dari teman-temanku yang berusaha keras menenangkan hatiku. ’’Ilya, kalau kita berlari, kita mesti pandang ke hadapan. Kalau pandang ke belakang, kita pasti akan jatuh..’’. ‘’Ilya, teruskan semangat, jangan putus asa di tengah jalan..”. ‘’Ilya, kami semua sentiasa ada bersamamu.” Begitulah bakaran obor setiakawan dari seluruh teman seangkatanku. Namun kurasakan semuanya seolah-olah percikan api panas yang dilemparkan kepadaku. Aku benar-benar sedih dan keliru tika itu. Aku memerlukan seseorang untuk mendengarkan. Aku pilih seorang kakak Indonesia, Kak Achik sebagai tadahan bendungan kesedihanku. Alhamdulillah dia berjaya menyuntik kembali roh kehidupan muslimku.

Aku mula menerima iradah hidupku dan meyakini iftitahku selama ini. Sesungguhnya solahku, ibadahku, hidupku dan matiku hanya kerana Allah SWT. Aku sedari, doaku selama ini bukan sekadar mainan lisanku. Aku sedari, bacaan Al-Quranku juga bukan sekadar halwa telingaku selama ini. Dan aku juga sedar zikirku selama ini bukanlah hanya sebagai pelembab bibir keringku. Aku mula membina istana kepasrahanku yang bertiangkan redha dan berlantaikan syukur hanya pada Rabb penyusun hidupku. Kurendahkan diriku di balik labuhan tirai malamnya. Alhamdulillah, segala puji hanya layak menjadi milikNya. Aku kembali menjadi diriku.

Purnama penuh didini hari menemani teman-temanku yang semuanya sudah bersiap-siap menyumbatkan belakang teksi dengan beg gendut masing-masing. Dapat ku kirakan beratnya beg-beg mereka pasti melebihi berat maksimum syarat menaiki pesawat. Kelihatan masing-masing berpeluk tubuh menahan kedinginan sebelum sang mentari mengintai awan.Tebal kabus yang memutih bagai mengiringi perjalanan teman-temanku.

Bermulalah musim cuti semester akhir kami setelah setahun memakai pakaian mahasiswa tahun satu. Kegembiraan membaluti ruangan Lapangan Terbang Makassar pagi itu. Mana tidaknya, semuanya akan pulang ke pangkuan ayahbonda masing-masing melepaskan rindu yang membuluh disanubari. Bagi diriku, inilah ketetapan yang terbaik dariNya buatku. Aku memilih untuk meneruskan tugas dan memuatkan pengalaman-pengalaman baru dalam poket hidupku selama mencuci sisa cuti di sini. Alhamdulillah, aku tidak kesepian selama 3 bulan disini kerana aku tidaklah dibiarkan sendirian oleh Kekasihku Yang Maha Agung.

Panas terik yang menyengat kulitku tatkala menunggu pete-pete 05 dikurangi oleh teduhan beg dari temanku. Untungnya aku cuma setinggi 150 cm dipayungi bayang-bayang temanku yang ukurannya 32 cm lebih dariku. Terbayang aku betapa terseksanya memakai bahang mentari dikala itu sekiranya aku sebagai Bilal bin Rabah. Dalam diam, aku memuji keagungan Allah yang meniupkan kesabaran dalam diri Bilal. Tidak terbanding olehku keimanan para sahabat yang benar-benar telah berjuang menegakkan kalimah Lailahaillallah. Sedangkan diriku? Hanya disarungkan bahang serendah 38 c sahaja, sudah sebaldi ngomelan keluar lewat lisanku.

Hari itu, bermulalah tugasan bagi aku dan temanku untuk mencari para profesor dan doktor selaku penasihat akademik teman-teman seangkatan kami. Bersesuaian dengan amanah yang kami pikul, 57 lembar borang Kartu Rencana Studi (KRS) kami selesaikan dari sehari ke sehari. Bermula di Hospital Wahidin Sudirohusodo, kami menyusun langkah ke Hospital Ibnu Sina, ke klinik-klinik jauh dan dekat, di kota dan di desa, mengikut aturan dan susunan jadualku selaku setiausaha kepada diri sendiri.

Pengalaman bertemu doktor-doktor di serata hospital di sini memberi aku gambaran bagaimana aku praktikal di tahun 4 nanti. Aku melihat sendiri suasana hospital di sini. Bayangkanlah, hanya seorang pesakit yang di rawat di wad, tetapi hampir sekeluarganya turut menemani pesakit tersebut. Suasana hospital kelihatan sesak dengan penjaga-penjaga pesakit yang seolah-olah berkelah di lantai dan koridor wad. Bermacam-macam bau yang kurang menyenangkan turut menusuk lubang nasalku.

MasyaAllah, tidak ku mampu menghadapi semua ini ya Allah jikalau bukan dengan kekuatan dariMu. Apakah dayaku untuk membantu pesakit yang menjadikan katilnya itu sebagai tadahan najis, tempat pelepasan muntah, pengumpulan sisa-sisa makanan. Lalu di katil itu jugalah mereka dirawat. Maha Suci Allah, menciptakan kelainan antara hospital di Negara ibunda dan Negara asing.

Alhamdulillah, aku merasakan cutiku terisi penuh walaupun kurasakan wajahku semakin hangus dibakar matahari setiap hari. Hatiku tersentuh ketika aku dan temanku berada di tengah-tengah kota ketika melaksanakan misi yang diamanahkan. Kelihatan ramai anak-anak kecil yang ku kira sebaya adikku sendiri. Mereka berkeliaran baik ditepi jalanan mahupun ditengah kesibukan kenderaan yang lalu-lalang. Aku menduga mereka adalah mangsa dari kaum dewasa yang mengepalai sindiket peminta sedekah jalanan.

Mata wang negara yang bernilai agak rendah berbanding negara ibunda memaksa kudrat diri masyarakat disini mengais pagi dan petang tanpa mengira umur. Kelihatan ada anak kecil yang usianya sekitar 5 tahun mendukung bayi kecil untuk mencari sesuap nasi. Bertempekan dan berdiri di sepanjang jalanan. Meminta-minta dari sebuah kenderaan ke sebuah kenderaan.Yang bernasib baik akan membuahkan hasil namun yang tidak dipedulikan masyarakat sekeliling, hanya Allah sahaja yang mengetahui nasib mereka. Fenomena-fenomena ini begitu menyayat hati ibarat kata pepatah berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Aku terasa seolah-olah berada dalam rancangan ‘Bersamamu’ apabila melihatkan semua ini.

Selesai menutup buku tugas KRS, lembaran tugas baru pula dijana. Seakan sudah menjadi adat turun-temurun mahasiswa-mahasiswa Malaysia di Makassar. Senior dari tahun 2 akan menguruskan sambutan kedatangan junior tahun 1. Sehubungan itulah, akaun kesibukan hidupku bertambah dibahagian debitnya dimusim cutiku ini. Tambahan pula, hanya aku dan seorang sahaja temanku yang berada disini. Maka, tanggungjawab untuk menyelesaikan persiapan sambutan junior-junior sesi 2008 seakan-akan terpikul dibahu kami.

Terkejar kesana kemari dengan bermacam-macam urusan sebenarnya mengukir satu catatan persahabatan antara aku dan temanku.Alhamdulillah urusan kami disini dimudahkan olehNya dengan bantuan dan usaha sama semua teman-teman yang sedang bercuti di Malaysia. Turut membantu senior-senior yang berada disini. Inilah keistimewaan dan kesatuan pelajar Malaysia di Makassar yang mengamalkan berat sama dipikul ringan sama dijinjing sebagai ikrar perpaduan. Lantaran kerja rasmi inilah menyedarkan aku bagaimana realiti kehidupan seorang doktor kelak. Hidup dan diri adalah hak bersama dalam mata masyarakat. Tidak hanya bergoyang kaki di kerusi malas.

Sesuai dengan jadual kalendarku, hari ini aku akan ke Bone, di Sulawesi Barat. Teman sekualiahku akan menamatkan zaman bujangnya dengan jejaka pilihannya. Aku sentiasa mendoakan kebahagiaan buat temanku ini. Perjalanan yang memakan masa 3 jam itu telah mencoret warna pelangi pada lembaran diari hidupku. Keindahan sawah yang menghijau. Pepohon rimbunan yang mengatap jalan. Kabus tebal yang menurunkan suhu sekitar, benar-benar telah memikat hatiku untuk terus memuji Ilahi.

Sempat ku cicipi kuih ‘dange’ yang terkenal di Sopeng, iaitu ketika dalam perjalanan ke rumah pengantin. Boleh ku umpamakan seperti buah manggis yang mana rupa parasnya hitam namun rasanya enak sekali. Alhamdulillah. Seandainya dapat ku putarkan masa seperti dalam kartun kesukaanku Doraemon, sudah pasti kuih ‘dange’ itu berada ditanganku kini.

Setandan pisang itu tidak semuanya baik. Begitu juga dengan sebahagian terakhir dalam perjalananku. Simpang-siur yang lebih bengkok dari ular yang kena palu memualkan isi perutku. Terasa sekali proses antiperistaltik sedang berlaku di esofagusku. Hingga aku merasakan sekiranya perjalanan itu masih panjang dan menjadi ukuran, pasti aku berjanji pada diriku agar tidak ke sana lagi untuk kali keduanya. Untuk memanjangkan catatan diariku, aku mengambil peluang untuk bermalam di daerah Lamuru. Sebuah tempat bersebelahan daerah Bone. Ditempat inilah kakak sebilikku melaksanakan kewajipan beliau dalam Kuliah Kerja Nyata. Aku tahu, insyaAllah kelak aku juga akan ke kampung-kampung menjalankan tugas sebagai bakal doktor.

Perasaanku benar-benar tenteram ketika di desa itu. Menghirup udara yang segar dan nyaman telah kembali membuka peti memoriku pada Malino. Kehijauan desa yang masih terpelihara dari keganasan pembangunan berjaya mendekatkan lagi diriku pada Yang Maha Esa. Tiada yang terlalu istimewa di desa itu, jika kecanggihan yang dicari. Namun mahalnya mahar alam semulajadi ciptaanNya dapat dicoret di sini. Lembu-lembu yang taat pada suruhan Penciptanya kelihatan riang berkeliaran di laluan jalan raya kecil. Anak-anak kambing begitu asyik berteman merenggut rumput tanpa menghirau pejalan kaki. Hasbiyallahu wa nikmal wakil.

Corak warna kehidupan aku disini semakin indah terlakar apabila aku bersama-sama teman seangkatan ke Pantai Tanjung Bira. Rancangan untuk mengisi percutian semester 3 kami. akhirnya terlaksana. Perjalanan yang memakan masa 3 jam setengah sudah cukup membuatku terasa seperti menghidap penyakit Hernia Nukleus Pulposus. Bagaimana tidaknya, jalannya tidak begitu rata dan panjang. Seperti memberi gambaran aku sedang menunggang seekor kuda ganas. Namun, segalanya seakan terbayar kembali tatkala tayar kereta Avanza yang aku naiki berhenti di parkiran Chalet Nusa Bira.

Di Bira, aku terhibur melihat teman-temanku bermain bola digigi pantai. Aku tercipta sebagai insan yang alah kepada air laut. Namun Dia tidak pernah menyisihkanku dari menikmati kebesaran dan kenikmatan penciptaanNya. Aku bersama teman-teman mengelilingi pulau dengan menaiki bot laju yang bertambang 4 ribu rupiah.

Maha Suci Allah Yang Maha Agung lagi Maha Perkasa. Dialah yang telah mencipta dan mempersembahkan bentangan laut yang meluas. Dengan kombinasi biru hijau dan berlantaikan batu karang yang jelas dilihat walaupun tidak bervision 2020. Pancaran manja sinar mentari dibalik awan mengorenkan warna sekitar pantai. Jelas sekali keindahan Sang Pencipta memperlihatkan fenomena pasang surut laut yang beralasan bulan sebagai pemicunya. Dapat ku lihat landak-landak laut yang hitam pekat bermata oren, biru dan merah, menjadi hamparan dasar laut ketika airnya surut.

Sebentar aku terkesima. Aku menikmati segala pemandangan ketika berpeluang berjalan kaki hingga ke tengah lautan yang surut di pagi hening itu. Hempasan ombak ke mulut pantai seakan membuat satu irama ketenangan. Namun aku hanya bisa rakamkan dalam kamera elektronikku lantaran aku bertahap hipersensitiviti terhadap masinnya air laut. Deruan angin beralun zikir, cerahnya langit membiru fana, hempasan ombak ke gigi pantai, lambaian pohon nyior memuji Tuhan, teguhnya karang mentaati Ilahi, keheningan langit senja yang memerah keunguan menyembunyikan mentari, semuanya ku sisipkan dalam buku pengalamanku yang indah.

Ingin sahaja aku berbaring bertilamkan pasir yang begitu memutih dan berkilau. Sambil menelan kepekatan malam di pantai itu. Ingin sahaja aku membina rumahku di situ dan membawa seluruh keluargaku yang amat aku rindui agar turut sama meneguk kenikmatan Pantai Bira. Hati dan jiwaku tidak rasa terpaksa untuk terus memuji dan membesarkan Allah. Hingga janjiku terpatri untuk ke Tanjung Bira lagi jika diberi peluang. Segalanya indah dipandangan dunia. Subhanallah.

Dalam kelekaanku melayani panorama Bira yang memukau, aku terfikir betapa berKuasanya Allah menenangkan laut yang terhampar itu. Ingatanku memutar ke tragedi 26 Disember lalu. Tatkala Allah hanya merubah sedikit sahaja dari sifat air laut. Baru sedikit sifat air laut Allah alihkan, sudah banyak kerugian wang ringgit, kemusnahan harta-benda dan nyawa yang hilang. Belum lagi diperlihatkan gunung-ganang yang berterbangan seperti kalkatu. Belum lagi dibelah langit dan bintang-bintang berguguran. Belum lagi lautan dijadikan meluap-luap dan kubur-kubur dibongkar. Maha Agung Allah yang Maha Penyayang mengatur kitaran hidup penciptaanNya. Getaran Istighfar memenuhi ruangan benakku.

“Hai Ilya, lamanya baca massage tu..hehehehe..dah..dah..jom pergi makan..”. MasyaAllah, teguran teman sekuliahku telah mengembalikan aku ke alam realitiku yang sebenar. Terpapar nama insan yang bakal ku dampinginya kelak, insyaAllah. Belum ku picit punat open. Lalu ku mengajuk langkah temanku tadi untuk mengisi perutku yang sedari tadi memainkan muzik kelaparan.

1) Kalut : tergesa-gesa

2) Istiqamah : tetap

3) Bronkus : Saluran nafas

4) Khatan : Sunat

5) Pinset : Alat seperti pengepit yang digunakan untuk menyunat

6) Spina Iliaca Anterior Superior : Tulang pinggang

7) Tetanus : Suntikan untuk penyakit kancing gigi

8) Steril : Bersih tanpa kuman

9) Girus : Garisan pada otak

10) Eror : Gagal dalam peperiksaan

11) Membrana timpani : Telinga

12) Iradah : Ketentuan

13) Pete-pete :Kenderaan awam di Indonesia

14) Rabb : Tuhan

15) Pesawat : Kapal terbang

16) KRS : Pendaftaran subjek semester baru

17) Nasal : Hidung

18) Cicipi : Merasa dengan lidah

19) Dange : Kuih tradisional disalah satu daerah di Indonesia

20) Antiperistaltik : Makanan naik ke atas dari dalam perut

21) Esofagus : Laluan makanan dalam badan

22) Kuliah Kerja Nyata : Posting ke kampung-kampung

23) Hernia Nukleus Pulposus : Sakit tulang belakang

24) 4 ribu Rupiah : RM 9.50

25) Hipersensitiviti : Alergi

Categories: karya-karya
  1. No comments yet.
  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: