Home > Coretan > Dakwah fardiyah I

Dakwah fardiyah I

ku ingin..ku hajat..ku damba..semoga dapat berada dalam barisan ” ulama’ warasatul anbiya’..” ameen…
bukan sekadar ucapan dan susunan kata..tapi harus dibayar dengan harga maharnya…insyaAllah..hidup mulia, mati syahid..
Melalui da’wah, Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam telah berjaya mengangkat mertabat manusia menjadi makhluk yang mulia. Da’wah telah berjaya menyebarkan kebahagiaan, kedamaian dan ketenteraman yang hakiki. Jejak langkah Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam telah diikuti oleh para sahabatnya dan diwariskan dari satu generasi ke generasi seterusnya. Walaupun Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam telah wafat, namun tanggungjawab da’wah tidak berhenti. Tanggungjawab da’wah adalah tanggungjawab kita yang berterusan.
 
MARHALAH PERTAMA: MENGENALI MAD’U DAN MEMBINA HUBUNGAN

Pada tahap ini kita harus berusaha agar mad’u merasakan bahawa kita mengambil berat tentang mereka. Bertanya khabar di kala mereka tidak ada. Kita belum lagi berbicara secara langsung tentang da’wah, agar hati mereka lebih terbuka dan bersedia untuk menerima apa yang diperkatakan. Pada tahap ini, lagi banyak perhatian yang diberikan kepada mad’u maka akan lebih banyak penerimaan yang akan diperolehi daripada mad’u (InsyaAllah). Langkah-langkah kita ialah:

1) Mengadakan hubungan silaturrahim.
2) Berta’aruf dengan mad’u.
3) Menunjukkan kepadanya bahawa kita kenalnya.
4) Menunjukkan kepadanya bahawa kita mementingkannya.
5) Kita menziarahinya di rumahnya dan selalu membawa hadiah.
6) Memberikan perhatian dan kemesraan kepadanya.
7) Menghormati dan memuliakannya.
8 ) Dan berbagai usaha perlu dibuat untuk menariknya.

 
MARHALAH KEDUA: MEMBERSIHKAN AQIDAH DAN MEMBANGKITKAN IMAN

Pada tahap ini perbicaraan terhadap masalah iman dilakukan secara tidak langsung, secara tabi’i dan seolah-olah tidak sengaja. Masa-masa tertentu dimanfa’atkan dengan sebaik-baiknya seperti ketika melihat seekor burung terbang, melihat serangga dan apa sahaja ciptaan Allah Subhanahuwata’ala. Di kesempatan ini ajaklah mad’u untuk berbicara tentang kekuasaan, keindahan dan keagungan ciptaan Allah Subhanahuwata’ala.

Pada tahap ini diutarakan juga bahawa walau bagaimana hebat manusia namun ia tidak mampu menandingi Allah Subhanahuwata’ala, contohnya saintis yang paling bijak pun tidak mampu untuk menciptakan walau sebiji benih, apatah lagi untuk menumbuhkannya. Mereka mungkin membuat penemuan-penemuan baru tetapi bukan ciptaan baru.

Perkara-perkara yang perlu diberi perhatian pada tahap ini ialah:

1) Menjaga segala pembicaraan dengan baik.
2) Berbicara tentang iman secara tidak langsung.
3) Menggunakan segala peluang dan kesempatan untuk dikaitkan dengan betapa Kudrat Kuasa Allah Subhanahuwata’ala seperti:
     a) Ketika melihat seekor burung sedang terbang.
     b) Ketika melihat seekor serangga sedang melintas lalu.
     c) Ketika melihat pokok kayu atau rumput.
     d) Ketika melihat bagaimana tumbuh-tumbuhan berbeza pada batang, akar, daun, bunga dan baunya.
     e) Kemukakan soalan-soalan seperti: Mampukah para saintis dari semua jurusan mencipta sebiji padi?. Kemudian  kita jelaskan bahawa rahsia hidup adalah hak Allah Subhanahuwata’ala.

4) Menjelaskan bahawa mencipta dan menghidupkan itu adalah hak Allah Subhanahuwata’ala semata-mata. Firman-Nya:
Bermaksud: Dan kamu lihat gunung-gunung itu, kamu sangka dia tetap di tempatnya, padahal ia berjalan sebagai jalannya awan. (Begitulah) perbuatan Allah yang membuat dengan kokoh tiap-tiap sesuatu. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan.
(Surah An-Naml : 88)

5) Memberi misalan-misalan yang menarik dan menawan hati. Firman Allah Subhanahuwata’ala:
Bermaksud: Inilah ciptaan Allah, maka perlihatkanlah olehmu kepadaku apa yang telah diciptakan oleh sembahan-sembahan(mu) selain Allah. Sebenarnya orang-orang yang zalim itu berada di dalam kesesatan yang nyata.
(Surah Luqman : 11)

6) Mengadakan perbincangan lanjut dan berulang-ulang mengenai penciptaan Allah Subhanahuwata’ala.

7) Mengajak dia memikirkan tentang makhluk Allah Subhanahuwata’ala di mana-mana sahaja .
8 ) Membawa dia memikirkan bahawa penciptaan Allah Subhanahuwata’ala bukanlah sia-sia.
9) Membawa dia mengingati kurniaan Allah Subhanahuwata’ala untuk orang-orang yang beriman.
10) Membawa dia mengingati akhirat.
11) Mendorong dia berdo’a kepada Allah Subhanahuwata’ala supaya menjauhkan diri daripada neraka (‘Azab Allah Subhanahuwata’ala).
12) Kita kenangkan kepadanya kemuliaan yang telah dikurniakan Allah Subhanahuwata’ala terhadap manusia. Malangnya banyak manusia mensia-siakannya.
13) Manusia banyak melayan tuntutan jasmani. Mereka tidak melayan dan tidak memberi perhatian kepada rohani dan aqidah.
14) Dengan kita membawa dan menyentuh sedikit tentang iman dan aqidah Islam, semoga dia mula sedar dan iman mula bertapak.
15) Di tahap ini, mad’u dibimbing agar:
     a) Bertambah kagum dan memuji Allah Subhanahuwata’ala:
Bermaksud: (Iaitu) Orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): “Ya Rab kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharakanlah kami daripada siksa neraka.
(3 : 191)
     b) Bermulalah hatinya itu hidup dengan mengenali Allah Subhanahuwata’ala.
     c) Dia bersedia untuk beriman dengan Allah Subhanahuwata’ala dan hari akhirat.
     d) Dia mulai ingin memahami tugas, tanggungjawab dan tujuan hidup.
     e) Dia ingin tahu dengan jelas akan tujuan dia diciptakan (bahawa manusia tidaklah dijadikan dengan sia-sia, bahkan adalah untuk memperhambakan diri kepada Allah Subhanahuwata’ala).
     f) Dia inginkan aqidah salimah (aqidah yang sejahtera) dan benar. Kebahagiaan di akhirat bergantung kepada aqidah yang salim.
     g) Dia rasa hanya dengan bertaubat dan beriman kepada Allah Subhanahuwata’ala sahaja akan dapat menyelamatkannya.
     h) Dia mula tertarik dan mudah mengikut ajaran-ajaran Islam dengan penuh iltizam.

bersambung, insyaAllah….

-p.cik bro abu salman-

Categories: Coretan
  1. June 20, 2009 at 4:23 pm

    akak syukrn atas perkongsian ini..
    sgt2 bermakna

  1. No trackbacks yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: